Rabu, November 11, 2009

Semenanjung Tanah Melayu

Dengan lafaz bismillah pembuka bicara, assalamu'alaikum doaku ke atasmu.

Ini bukan sebuah karya agung tetapi dengarkanlah setiap bait-bait rintihanku ini wahai bangsaku. Bangkitlah dirimu wahai bangsaku yang terus lena ditidurkan di atas hamparan tilam yang empuk, lena diulit khayalan mimpi yang indah, lena dengan alunan muzik yang menusuk ke setiap jiwa yang kosong, lena bergelumang dengan najis maksiat yang mengasyikkan, yang disangkanya wangi, terus lena dan setia mengabdikan diri dengan bertuhankan wang ringgit kerana percaya bahawa ia sahaja yang mampu memberi rezeki yang mencurah-curah.

Ketahuilah oleh mu wahai bangsaku, bahawasanya kamu sedang memijak bumi yang penuh lagenda, misteri dan punyai rahsia-rahsia yang tersembunyi di sebaliknya yang akan terbongkar di akhir zaman nanti. Ketahuilah oleh mu wahai bangsaku bahawasanya bumi yang sedang kamu pijak inilah yang dipanggil Tanah Semenanjung Emas sejak zaman dahulu kala. Apakah kamu tidak sedar bahawasanya bumi yang sedang kamu pijak ini memiliki Emas Merah yang terbaik di dunia? Ya, bumi Ophir yang pernah didatangi oleh jin-jin kerahan Nabi Sulaiman bagi mendapatkan emas untuk kerajaannya terletak di Gunung Ledang yang menyimpan 1001 misteri sehingga kini. Apakah kamu lupa bahawasanya bumi yang sedang kamu pijak inilah juga yang dipanggil Tanah Matahari Terbit Di Penjuru Dunia? Sedar dan ingatlah wahai sekalian bangsaku bahawasanya bumi yang sedang kamu pijak ini pernah diserang dari segala penjuru bermula dari Siam, Tartar, Portugis, Belanda, Inggeris, Jepun, Komunis tetapi bumi ini tetap utuh dalam memelihara Keagungan dan Kedaulatan Islam.

Wahai bangsaku, apakah kamu tidak sedar bahawasanya muncung-muncung meriam musuh yang berada di pulau selatan bumi mu ini telah sekian lama menghala ke arah kamu? Sang Singa memang pandai berpura-pura sehinggakan Sang Nila Utama tertipu dengan helahnya. Sentiasa berawaslah wahai bangsaku! Ingat! Ianya hanya menunggu masa dan detiknya sahaja untuk dilepaskan. Di ketika itu, apakah kamu rela membiarkan lehermu disembelih begitu sahaja? Apakah kamu rela membiarkan sahaja tubuhmu ditembusi dengan hujan peluru? Apakah kamu rela membiarkan sahaja bom-bom mereka memisahkan kakimu dari badanmu?

Ayuh, bangkitlah wahai bangsaku! Kekuatan bangsaku ada pada huruf 'MIM' di pangkal ejaan nama bangsaku. Tanpanya bangsaku akan terus layu. 'MIM' adalah Muhammad, nabi akhir zaman dan kekasih Allah. Marilah bangsaku kenali siapa itu Muhammad. Kenali siapakah Tuhannya. Kenali apakah ajaran agamanya. Kenali apakah kitab yang dibawanya. Semoga bangsaku terus kekal setia bersama 'MIM' nya.
Wahai para mujahid maralah ke hadapan
Kerahkanlah tenagamu dan jua fikiran
Korbankanlah hartamu sekalipun jiwa raga
Teguhkan keyakinan teruskanlah perjuangan
Wahai para mujahid janganlah terpengaruh
Ujian nikmat hidup duniawi
Biarpun ianya begitu indah
Namun hanya sementara
Memang berjuang itu terkorban
Kerana kita berjuang untuk berkorban
Itulah asam garam perjuangan
Syarat mendapat cinta Allah
Wahai para pejuang kebenaran
Suburkanlah semangat juangmu
Setiap masa sepanjang hayatmu
Dengan irama hiburan ini
Tempuhilah penderitaan
Di dalam perjuangan
Kerana itu adalah penghapus dosamu
Berjuang kerana Illahi
Walaupun sedikit tetap akan dinilai
Sebagai amalanmu yang soleh

0 ulasan: