Sabtu, November 14, 2009

cinta sambal belacan + kuew tiaw

Dengan lafaz bismillah pembuka bicara, assalamu'alaikum doaku ke atasmu.

Perkahwinan di dalam Islam adalah selaras dengan fitrah manusia iaitu ingin hidup berpasangan dan memiliki keluarga. Islam juga menggariskan agar keinginan tersebut dilaksanakan berdasarkan undang-undang dan syariat yang menjamin kesejahteraan hidup bermasyarakat.

Cinta merupakan sesuatu perasaan yang indah yang lahir atas dasar kasih sayang yang disemai di dalam lubuk hati sanubari setiap pasangan. Cinta itu buta sehingga kita tidak lagi mengenali perbezaan di antara kita seperti warna kulit. Islam tidak menghalang kita untuk mengikat perkahwinan bersama bangsa lain. Islam sangat menggalakkan kita untuk meluaskan lagi zuriat serta melebarkan lagi sayap persaudaraan sesama Islam. Perkahwinan juga merupakan salah satu faktor perkembangan dan penyebaran agama Islam di muka bumi Allah ini.

Malaysia mempunyai pelbagai bangsa yang menghuni di dalamnya. Jika anda perhatikan, bangsa-bangsa dari timur hingga barat, semuanya ada di Malaysia. Jika anda tidak percaya, keluarlah dari rumah dan lihatlah sekeliling anda atau cari susur galur keturunan anda. Tidak hairanlah, dunia mengenali Malaysia sebagai 'Truly Asia', bak kata makcik Astro, ‘macam-macam ada..’ Dan inilah misi kita iaitu mengembangkan lagi syiar Islam keseluruh pelusuk dunia. Ia bukanlah sesuatu yang mustahil. Tetapi syiar Islam ini mestilah dimulakan di rumah kita terlebih dahulu (keluarga).

Berbalik kepada topik tadi, ada segelintir lelaki Cina terpaut hati dengan wanita Melayu kerana wanita Melayu memang pandai memasak. Bukan itu sahaja, malah ada yang terpikat dengan adab sopan wanita Melayu (biasanya di kampung. Di bandar??). Apa yang ingin saya perkatakan di sini ialah sekiranya anda mencintai seseorang yang bukan seagama dengan anda, pasangan anda itu wajib 'masuk Islam' terlebih dahulu dan meyakini dua Kalimah Syahadah. Jika anda mengahwininya tanpa dia menukar agamanya kepada agama Islam, perkahwinan tersebut hukumnya haram! Perkahwinan seperti ini telah sekian lama berlaku kepada segelintir masyarakat Indonesia, kerana di sana mereka tidak memandang agama, tetapi mengutamakan bangsa mereka sebagai bangsa Indonesia. Apa yang telah berlaku (bala bencana) di sana, kita jadikan pengajaran dan iktibar. Janganlah kita membelakangkan agama dalam kehidupan seharian. Kita juga di Malaysia, janganlah melakukan perkara yang sama, yang halal jadi haram, yang haram dihalalkan pula.

Yang paling penting adalah pasangan anda itu mestilah ikhlas mentauhidkan agama Allah dan bukan kerana cintakan anda semata-mata dan jangan jadikan kursus perkahwinan sebagai syarat sahaja untuk melangsungkan perkahwinan anda. Kewajiban solat 5 waktu sehari semalam janganlah ditinggalkan kerana solat adalah tiang agama. Jika anda kurang pengetahuan dalam bidang agama, apa salahnya jika anda dan pasangan sama-sama kembali mempelajari agama Islam yang sebenar. Jangan malu dan ego untuk mengenali Alif-Ba-Ta. Jika anda seorang yang mempunyai pengetahuan agama yang kukuh, kongsikanlah bersama dan pimpinlah pasangan anda ke jalan yang diredhai Allah. Semoga perjalanan anda bersama pasangan yang berstatus saudara baru itu akan sentiasa dibimbing oleh Allah dan mendapat keberkatan dariNya.

0 ulasan: