Rabu, November 11, 2009

Muqadimah

Dengan lafaz bismillah pembuka bicara, assalamu'alaikum doaku ke atasmu.
Pertama-tamanya, ingin saya panjatkan syukur ke hadrat Illahi kerana keizinanNya yang masih memberikan ruang dan kesempatan untuk saya meneruskan siri IQRA'! Rintihku, Perjuanganku ini, alhamdulillah. Pada awalnya, saya hanya mencoret artikel yang berolahkan sebuah rintihan hati dan dipaparkan di ruangan laman komuniti sosial "Tagged" sahaja. Tetapi malangnya, telah berlaku beberapa masalah dan kesukaran dengannya sehingga membantutkan seketika istilah perjuangan diri. Saya mengerti dan akui bahawa ciptaan manusia tidaklah sesempurna ciptaan Allah yang Maha Pencipta. Kenali diri, maka akan tersingkaplah segala rahsia keagungan yang Maha Agung lagi Maha Kuasa.
Setiap tangan yang dihulur, akan saya sambut dengan jabat mesra sambil mengucapkan doa salam agar kita sentiasa di dalam hubungan keakraban dengan pautan erat silaturrahim. Selamat bertemu kembali kepada para sahabat yang selama mana telah membaca rintihan-rintihan saya semasa di "Tagged" sebelum ini. Terima kasih saya ucapkan kerana tidak ramai di antara kita yang mendambarkan kejernihan pemikiran. Alhamdulillah, hati kalian telah digerakkan olehNya. Selamat datang juga kepada Muslimin dan Muslimah kerana baru sahaja berjaya menjejaki ruangan blog ini. Semoga kita sama-sama dapat memperbetulkan kembali kerenggangan saf-saf barisan kita sebelum mara ke hadapan agar mereka tidak dapat menembusi kubu-kubu yang telah kita bina.
Firman Allah dalam surah Al-'Asr: "Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar."
Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 44: "Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri, padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?"
Saya cumalah insan biasa sama seperti kalian dan tidak lekang daripada melakukan kesalahan samada sedar atau tidak. Tegurlah saya sekiranya berlaku sebarang kesalahan pernyataan dan ketidak adilan di dalam setiap rintihan saya nanti. Saya sedia memperbetulkan apa jua kesalahan saya demi kebaikan kita bersama. Lagipun ilmu yang ada pada saya cumalah setitis air sahaja jika hendak dibandingkan dengan ilmu yang dimiliki oleh yang Maha Bijaksana. Umpama Alif-Lam-Mim, apakah rahsianya? Sungguh kerdil diri ini untuk menafsirkannya. Bermuzakarahlah kita bersama agar setiap persoalan yang menyelubungi diri akan dapat terjawab akhirnya. Semoga ia juga akan dapat menemukan kita kepada sebuah titik pertemuan dan penyatuan kerana di situlah letaknya kesempurnaan. Ingatan saya seandainya kalian ingin memberikan sebarang ulasan, jadilah seorang Melayu sebagaimana sebenar-benarnya Melayu itu dan jadilah seorang Islam sebagaimana sebenar-benarnya Islam itu. selusurilah siapa dia Melayu itu dan hayatilah apa Islam itu.
Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 42: "Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya."
Saya akhiri dengan sebuah lirik lagu berkenaan siapa saya:

Aku bukan seperti engkau sangkakan
Pura-pura di dalam berjuang
Aku tidak pandai menyulam rahsia
Juga tak pandai ku bermadah pujangga
Jika ada benci di hati
Oh, katakanlah padaku
Relaku terima walau kutukkan
Asalkan aqidah terjaga
Kerana tidak sanggup lagi
Mempermainkan dustur Illahi
Hakikat hati tak terluka
Walau zahirnya ada yang ketawa
Tuhan, ku mohonkan ampunan
Keterlanjuran yang berulang kali
Teman, kita patrikan di sini
Berakhir sebuah lamunan duniawi
Terima syukur taufiq Illahi
"Ya Allah, hanya rahmatMu yang aku harapkan. Jangan tinggalkan aku sendirian walau dengan kadar sekelip mata. Perbetulkan segala urusanku. Laa ila ha illa anta (tiada Tuhan selain Engkau).

0 ulasan: