Selasa, November 24, 2009

alamak, pakcik tu melatah daa...

Dengan lafaz bismillah pembuka bicara, assalamu’alaikum doaku ke atasmu.

Kelakar juga apabila melihatkan gelagat sesetengah individu yang terlalu taksub dengan ideologi politik masing-masing. Apa tidaknya, sehinggakan apa yang aku cuba bangkitkan dan suarakan yang bersifat di atas pagar disalah ertikan oleh sesetengah individu pula yang menganggapnya sebagai condong ke arah pihak yang lain. Salahkah aku menyemat keris di pinggangku di siang hari sebagai persediaan untuk ku menentang kebatilan dan salahkah aku menatap keindahan bulan terang di malam hari untuk mengagungkan kebesaran Illahi dan beramal ibadat kepadaNya? Ya Allah, inilah ujianMu di kala aku ingin memperbetulkan situasi bangsaku yang berlatar belakangkan pegangan agamaMu. Aku sangat bersyukur kerana aku tidak dilahirkan di zaman Nazi, Soviet apatahlagi di zaman kegelapan Inggeris. Kalau tidak, sudah tentu kepalaku sudah terpisah dari badanku yang sudah hancur ditembusi oleh peluru-peluru yang mencari di mana jantungku, perutku, ususku, lenganku, pehaku dan betisku. Aku sendiri pun tidak mahu melihat jasadku diperlakukan sedemikian rupa. Oh tanah, aku harapkan kau saja yang boleh mengasihani dan menerimanya di liang lahad nanti. Ke mana rohku hendak pergi? Argh, kalau katamu langkahku salah, benamkan saja rohku sedalam tujuh petala bumi bersama golongan yang ingkar menerima azab kubur yang dahsyat itu tapi kalau katamu langkahku benar maka layangkanlah rohku sejauh tujuh petala langit agarku selesa dan bahagia bersama golongan yang beriman sambil melihat anak cucuku di hamparan bumi sementara menanti hari perbicaraan yang Maha Adil. Hari ini, aku bersyukur kerana rohku masih setia mencintai jasadnya walaupun terpaksa berpisah seketika di kala aku dilamun mimpi. Aku masih mampu untuk bernafas, bersuara dan merintih. Aku masih gagah meneruskan perjalanan di laluan yang berlopak dan berliku-liku ini. Akan ku taburi emas dan permata untuk meratakannya agar mereka di belakangku dapat melalui jalan yang sempurna dan mengutip segala hasilnya. Relaku menongkah arus untuk kembali ke belakang dan memperbaiki asasnya yang kian parah ditebuk oleh tangan-tangan durjana agar mereka yang telah mara ke hadapan tersedar dan dapat mengatur kembali barisan serta tahu hala tujunya. Terima kasih kepada mereka yang telah menyapa ku ketika aku berlalu di sebelahnya melawan arus. Bagi mereka yang telah mencercaku, mencaciku, mengutukku, membuatkan aku berasa asing sekali hidup di sini walaupun berpijak di bumi sendiri. Rintihku telah berjela-jela ku luahkan. Keluh resah ku, agar mereka ini kembali mengenali diri sendiri, lantas tersingkaplah rahsia keagungan Illahi.

Setelah aku memaparkan sebuah lagu warisan (anak kecil main api) untuk digandingkan bersama rintihku yang seterusnya (artikel lalu), aku dihampiri oleh seorang pakcik tua yang tergambar di raut wajahnya seorang yang berilmu, aku hormati dia sebagai orang tua yang mempunyai banyak pengalaman hidup berbanding diriku. Di dalam hatiku berbisik, mungkin dialah orangnya yang patut aku contohi, yang akan memberi pengajaran dan tauladan yang baik untuk aku ikuti. Setelah pakcik itu menghayati lagu warisan bersama artikel yang dipaparkan, lalu pakcik itu pun mula menyapaku. Aku sememangnya menanti-nanti apa yang akan disuarakannya. Dia mula berkata, “Eh, kau ni macam pro merah je ni!”. “Haha..”, bisik hatiku tertawa kerana melihat pakcik itu sudah mula melatah. Orang kata, jika kita terlalu mengharapkan sesuatu, kita akan kecewa di akhirnya. Begitulah yang aku rasa ketika aku menanti sebuah pengharapan baru daripada seorang pemimpin kepada isteri dan anak-anaknya. Aku tidak menyangka masih lagi ada terlekat setompok doktrin kotor di hati dan akalnya. Tanggapan aku melalui raut wajah pakcik itu di awal pertemuan telah jauh meleset. Dia bukan Adolf Hitler, dia bukan Benito Musolini dan bukan juga Joseph Stalin tetapi Muhammad di pangkal namanya. Kemudian, tanpa menginginkan perbualan yang meleret, aku pun bertanya, “Kenapa pakcik cakap macam tu.. Bukankah lagu dan rintihan saya tu sebagai pembangkit kesedaran kepada bangsa ‘kita’ yang sedang lalai dan alpa dengan nasibnya di bumi sendiri? Pakcik ni pro hijau ke?”. Pakcik itu membalas, “Ya, kenapa? Walaupun kita sama, belum tentu kita melangkah seiringan.”. “Alamak, pakcik ni..”, bisik hatiku lagi. Oleh kerana aku tidak mahu terus mendengar latahan daripada seorang pendukung doktrin songsang, aku pun mematahkannya dan kataku begini, “Baiklah, ‘kalau’pun saya ni merah dan pakcik pula hijau, cuba pakcik campurkan warna merah dan hijau bersama. Warna apa yang akan pakcik nampak?”. Selang beberapa minit berfikir, pakcik itu menjawab kembali, “Warna hitam. Ada apa dengan warna hitam?”. Lantas, aku pun menjelaskan kepada pakcik tu dengan penuh keyakinan, “Ya, warna hitam. Bukankah warna hitam itu melambangkan panji atau bendera Rasulullah? Bukankah kita sebagai umat Islam mesti bersatu di bawah payung panji Islam itu? Apakah pakcik tidak sedar adanya musuh-musuh Islam yang tidak mahu warna merah dan hijau dicampurkan menjadi satu kerana mereka takut kembali ke zaman kegelapan mereka?”. Beberapa minit kemudian, aku tunggu, punya tunggu, punya tunggu, pakcik tu dah hilang daa.. Alhamdulillah, semoga Allah melembutkan hatinya dan membuang najis doktrin yang melekat di hati dan akalnya, agar dia kembali pada yang Satu. Semoga pakcik itu juga berjaya memimpin ahli keluarganya ke jalan yang lurus.

Akhirnya sempurna sessi dialog di antara aku dengan pakcik tu. Harap-harap pakcik tu tak melatah lagi selepas ni. Secara simboliknya, walau apa pun jua warna yang digabungkan, ia akan menghasilkan sebuah warna yang baru, menunjukkan bahawa setiap pihak mempunyai kelebihan dan idea-idea tertentu dan apabila ianya sama-sama dicantumkan, maka ia akan menghasilkan sebuah lagi kelebihan, kekuatan dan idea-idea yang lebih baik akan tercipta serta dapat memenangkan hati setiap pihak. Kesimpulan dari sessi perbualan tadi, walaupun seseorang itu memiliki raut wajah yang sempurna dan berintelektual, belum tentu hatinya tenang, bersih dan murni. Untuk bersatu, mestilah bermula daripada hati. Gerakkan hati dan aturlah langkah. Jangan tunggu semboyan berbunyi baru nak bersatu. Bak kata Nabil, “Lu pikirlah sendiri..” dan Wonderpet pula menambah, “Apa yang penting, KERJASAMA”.

0 ulasan: