Khamis, November 12, 2009

1 Malaysia = 1 Kiblat = 1 Agama

Dengan lafaz bismillah pembuka bicara, assalamu'alaikum doaku ke atasmu.

"Bersatulah Melayu,
Melayu itu pohon,
Akarnya mencengkam bumi,
Bumi itu pautan kasih,
Kasih Melayu segala kasih"
-sebuah nukilan puisi daripada Lim Swee Tin

Setiap individu mempunyai persepsi yang tersendiri mengenai ungkapan 1 Malaysia yang dilaung-laungkan oleh pemerintah. Si pengkritik tidak diam dengan tohmahan dan kritikannya, si penyokong tetap setia untuk melebarkan lembaran. Begitu juga si pengkaji konspirasi yang tidak lekang dengan kecergasannya mencari kelibat di belakang tabir.

Bagi saya, marilah kita rakyat Malaysia bersama-sama mendukung cita-cita Perdana Menteri dengan gagasan 1 Malaysia yang diwar-warkan. Dengan adanya semangat perpaduan yang tinggi, keamanan dan keharmonian, negara tidak mampu untuk diganggu-gugat oleh tangan-tangan ghaib yang sentiasa mencari ruang dan peluang bagi memecah-belahkan kita rakyat Malaysia. Dahulu, British sengaja mempertaruhkan kita hidup dengan berbilang bangsa dan agama sebagai percaturan. Tetapi setiap perancangan manusia tidak mampu untuk menandingi perancangan yang Maha Bijaksana. Walau selicik manapun tipu muslihat mereka, Allah sahaja yang mampu mematahkannya.

Oleh itu, untuk apa kita bergaduh? Untuk apa kita ‘terlalu’ memperjuangkan hak tuan empunya tanah Malaysia ini? Tidakkah itu lebih bersifat assobiyah? Malaysia ini bukan hak mutlak kita. Ianya milik Allah sebagai hamparan untuk kita berkongsi rasa hidup bersama. Alangkah lebih baik jika kita sama-sama memperjuangkan hak-hak ketuanan dan keistimewaan Islam serta menyemarakkan lagi syiar Islam di bumi Malaysia yang bertuah ini. Bukankah itu lebih adil dan saksama untuk semua umat Islam? Bagaimana pula dengan nasib mu'alaf? Bangsa Cina dan India, sampai mati pun mereka tidak boleh jadi bangsa Melayu. Lantas mereka terus dipinggirkan daripada menerima pelbagai keistimewaan walhal ada di antara mereka yang beragama Islam. Adilkah begitu? Dan bagaimana pula dengan golongan bangsa Melayu yang telah murtad? Walaupun mereka dipandang keji, jijik lagi hina-dina, mereka tetap menerima faedah yang sama sepertimana sebelum murtad hanya kerana statusnya sebagai bangsa Melayu. Adilkah begitu? Adilkah? Bukankah mereka yang murtad ini wajib dihukum bunuh sahaja sekiranya mereka menolak taubat? Menjadi bangkai makanan kepada anjing dan khinzir adalah yang paling layak untuk mereka-mereka ini.

Janganlah kita ‘terlalu’ taksub dan gah dengan nama bangsa Melayu sehingga membelakangkan agama Islam itu sendiri. Di sisi Allah, yang membezakan kita adalah ketaqwaan dan bukan susur galur bangsa. Lagipun kita sama-sama bermula daripada tanah dan akan kembali ke tanah jua serta menghadap Tuhan yang Maha Esa. Diharap janganlah disalah tafsir, saya tidak menolak perjuangan bangsa saya sendiri dan kita semua (tidak mengira bangsa) mesti akui bahawa hakikatnya tanah yang sedang kita pijak sekarang ini adalah Tanah Melayu. Jangan dihilangkan identitinya dan jangan dikelirukan oleh pengkhianat bangsa dan negara.

Bersempena dengan gagasan 1 Malaysia, marilah kita sekalian bangsa Melayu bersatu di bawah payung 1 Melayu, bebaskan pemikiran daripada terus dibelenggu oleh ideologi politik songsang. Marilah kita 1 Melayu bergerak menegakkan panji-panji Islam di 1 Malaysia ini supaya semua bangsa mengatur saf menghadap 1 Kiblat yang sama dan berpegang kepada 1 Agama yang diredhai.

0 ulasan: