Ahad, November 15, 2009

Dajjal di depan mata anda!

Dengan lafaz bismillah pembuka bicara, assalamu'alaikum doaku ke atasmu.

Apakah anda tidak sedar bahawa anda sedang berhadapan dengan Dajjal si mata satu? Ya, sekarang anda sedang bertentang mata dengan Dajjal yang menyesatkan. Dajjal yang anda anggap sebagai kawan setia anda, sentiasa berada bersama anda. Setiap saat bersama Dajjal, anda berasa sungguh bahagia dan tidak mampu untuk berjauhan dengannya. Anda terus khayal berasmara dengan Dajjal. Tanpa Dajjal, anda merasakan jiwa anda kosong umpama di lorong yang lohong. Hanya dajjal yang mampu memberikan anda kenikmatan dan keceriaan hidup anda. Apa sahaja yang anda mahukan, pinta sahaja kepada Dajjal, Dajjal sedia dan setia membantu anda. Dajjal sangat hebat, segalanya ada di dalamnya. Sehinggakan anda tidak jemu walau berjam-jam berhadapan dengan Dajjal. Anda sanggup tidak makan untuk setia bersama Dajjal kerana anda sentiasa rasa di dalam kekenyangan.

Tidak hairanlah, kanak-kanak samada lelaki atau perempuan juga tahu kenikmatan maksiat. Maksiat yang diajar dan dianjurkan oleh Dajjal. Daripada kanak-kanak itu tidak mengenali seks, kemudian diajarkannya pula cara-cara untuk mendapatkan kepuasan secara sendiri, sehinggalah kanak-kanak itu menginginkan dan menagih seks daripada seseorang serta sanggup menyerahkan daranya. Tetapi bersama siapa? Adik beradik? Ibu ayah? Kawan-kawan? Kenalan baru? Sama jantina atau berlainan? Muda? Tua? Semua boleh. Itulah janji Dajjal kepada kanak-kanak itu. Bagi anda yang mahu menjadi kaya serta inginkan kekayaan duniawi, Dajjal sedia membantu anda. Syaratnya, anda mesti setia bersama Dajjal. Dajjal akan melimpahkan rezeki dan duit yang tidak terkira banyaknya. Itulah janji Dajjal yang memberikan syurga dunia untuk anda. Dajjal sangat sayangkan anda. Anda pun tidak ragu-ragu dan tidak mampu melepaskannya walau sesaat. Itulah kuasa Dajjal.

Dajjal berjaya mempengaruhi anda. Dajjal berjaya memekakkan telinga anda daripada mendengar azan untuk mendirikan solat. Dajjal berjaya membisukan mulut anda daripada menyebut kalimah-kalimah memuji Allah. Dajjal berjaya menutup mata anda daripada melihat ayat-ayat Al-Quran. Dajjal berjaya mengikat kaki anda daripada pergi ke surau, masjid dan majlis-majlis ilmu. Dajjal berjaya mengawal minda, tangan dan jari jemari anda untuk terus meminta dan memohon apa sahaja daripada Dajjal. Dajjal berjaya menguasai akal dan nafsu anda dengan hidangan yang lazat-lazat. Sungguh hebat dajjal ini. Sehingga anda lupa ada lagi yang Maha Hebat daripadanya.

Dajjal bermata satu yang saya maksudkan di sini ialah komputer anda dan jaringan internet. Anda sudah bersolat? Bagi ibu bapa, jangan terlalu memberikan kepercayaan kepada anak-anak anda kerana Dajjal sangat menyukai kanak-kanak yang muda dan mentah untuk menjadi pengikut setianya. Fikir-fikirkanlah wahai kalian.

2 ulasan:

muslimah berkata...

nice artikel

Muhammad Azam berkata...

terima kasih saudari