Ahad, November 15, 2009

Nafsu vs Syaitan & Dajjal di depan mata anda!

Dengan lafaz bismillah pembuka bicara, assalamu'alaikum doaku ke atasmu.

Syukran dan terima kasih diucapkan kepada para sahabat yang mengikuti dan memberi maklumbalas berkenaan artikel-artikel daripada saya.

Merujuk kepada artikel 'Nafsu vs Syaitan', itulah yang sedang berlaku ketika ini. Teknologi yang maju digunakan sebagai medium untuk melakukan maksiat dan memuaskan nafsu semata-mata. Nafsu seseorang tidak tertumpu kepada seks sahaja. Ia lebih meluas dengan mengaitkannya dengan hal-hal mencari kenikmatan duniawi.

Seperti di dalam artikel saya yang lepas (Dajjal di depan mata anda!), di kala ini saya mengandaikan komputer dan jaringan internet yang ada di depan mata kita umpama Dajjal bermata satu! Ianya menyediakan syurga dan neraka buat kita. Syurga Dajjal adalah neraka Allah dan neraka Dajjal pula adalah syurga Allah. Tidak ramai di antara kita yang mencari neraka Dajjal ini seperti mencari dan membaca artikel-artikel berbentuk Islamik, hadis, zikrullah dan pelbagai lagi info-info yang berunsurkan keagamaan, yang boleh meningkatkan lagi aqidah tauhid dan keimanan seseorang Muslim dan Muslimah itu. Sayangnya, Muslim dan Muslimah sekarang ini lebih ghairah dengan hidangan-hidangan yang disediakan oleh syurga Dajjal seperti seks dan maksiat, hiburan, fitnah, kekayaan dunia dan sebagainya sehingga lupa akan tanggungjawabya sebagai seorang hamba Allah.

Islam tidak meminta umatnya untuk menolak teknologi selagi ia tidak bertentangan dengan aqidah Islam. Jadi, gunakanlah teknologi yang telah diciptakan untuk kegunaan kita dengan sebaik-baiknya. Teknologi dan tamadun sesuatu kerajaan atau bangsa tidak akan kekal sekiranya membelakangkan Allah. Jadikanlah sejarah-sejarah lama sebagai satu pengajaran buat kita semua. Ia pasti akan berulang kembali jika kita terus alpa dan melakukan perkara-perkara kemungkaran.

Semoga kita tidak terpengaruh dengan segala dakyah kesesatan dan fitnah yang dibawa oleh Dajjal. Carilah kebenaran kerana di situ ada kesempurnaan.

0 ulasan: