Isnin, November 30, 2009

siapa nak duit?

Dengan lafaz bismillah pembuka bicara, assalamu’alaikum doaku ke atasmu.

Duit oh duit...
Siapa nak duit? Muka cantik tapi soalan bodoh yang ditanya.
Hormatlah sedikit kepada golongan yang miskin dan anak-anak yatim. Duit bukanlah barang mainan yang boleh dicanang sewenang-wenangnya. Siapa yang tidak mahukan duit. Semua orang perlukan duit untuk menampung segala perbelanjaan bagi meneruskan hidup ini. Duit bukanlah segalanya tetapi segalanya memerlukan duit. Oleh itu, kita perlulah seimbang dalam menguruskan tuntutan kehidupan dan juga tuntutan agama.

Duit oh duit...
90% punca rezeki adalah datangnya daripada perniagaan. Sememangnya benar sabda Nabi Muhammad itu yang juga seorang peniaga. Tetapi kadangkala kita lupa, yang mana betul dan yang mana salah tatkala duit telah mengaburi mata dan akal fikiran. Sehingga kita terus menerima apa jua peluang yang ada di hadapan mata tanpa berfikir panjang. Fikirlah terlebih dahulu kerana hasil duit yang kita terima itu bukan sahaja akan menjadi darah daging kita, malah adik-beradik kita, anak-anak kita dan ibu ayah kita. Terutamanya kepada para wanita, jika ianya hasil daripada sesuatu yang kotor dan tidak berkat, maka ia juga akan merencatkan kesuburan rahim yang akhirnya akan melahirkan seorang anak yang lebih hebat kotornya daripada si ibu. Agak sukar untuk mendidik dan membentuk sahsiah anak yang sebegini dan seharusnya diberikan banyak perhatian. Tetapi malangnya si ibu masih terus mengejar duit sehingga tanggungjawabnya kepada si anak terabai. Baginya cukuplah dengan hanya memberi makan, minum, pakaian dan sekolah sahaja.

Duit oh duit...
Anda sebagai pengguna laman komuniti sosial, blog mahupun laman web tentu tidak lekang daripada terus menerima, melihat dan membaca pelbagai promosi perniagaan yang dijalankan oleh rakan-rakan anda. Terutamanya kepada mereka yang menjalankan program dan perniagaan MLM. Sudah menjadi lumrah strategi dan taktik pemasaran, mereka akan sentiasa memaparkan cerita-cerita yang indah belaka, kata-kata manis, motivasi pembangkit semangat diri, menayangkan harta atau aset yang dimiliki, menonjolkan individu yang telah berjaya, menjanjikan pulangan yang lumayan dan kerja yang senang sehinggakan ada di antara anda yang terpikat dan khayal seketika. Di dalam kepala hanya ada, “Wah, bestnye... Aku nak kaya. Aku nak jadi jutawan. Aku nak hidup senang.”. Saya juga percaya bahawa mereka akan berjaya dalam bidang yang mereka jalankan kerana mereka telah memperlihatkan keyakinan diri yang tinggi di samping usaha yang gigih untuk mencapai target. Saya pernah juga bekerja sebagai seorang eksekutif jualan dan pemasaran di salah sebuah bank dan kerana itu saya tidak berapa hairan dengan cara mereka menghebahkan program dan perniagaan mereka. Sebenarnya individu yang paling banyak mengaut keuntungan ialah individu yang mencipta sesuatu program dan perniagaan MLM tersebut. Saya jenis individu yang sukakan kebebasan dalam bekerja. Saya juga arif setelah meneliti dan mengenalpasti setiap pelan pemasaran mereka. Bagi saya, ia amat mudah untuk saya menjadi seorang pencipta program dan perniagaan MLM yang baru. Saya boleh meniru bulat-bulat atau menambah baik pelan pemasaran mereka. Saya juga mampu untuk mengupah individu lain untuk membina laman web berkenaan program dan perniagaan MLM saya sendiri. Dengan hebahan yang meluas, berbekalkan platform dan landasan yang telah saya cipta, maka ramailah individu-individu yang akan mengikuti saya. Kalau individu-individu bawahan saya telah berjaya dan memiliki banyak duit, maka saya lebih berjaya dan lebih banyak duit daripada mereka. Wow! Anda ingin belajar daripada saya? Dengan hanya klik pun anda boleh jana pendapatan yang lumayan. Wow! Betul anda tidak mahu belajar daripada saya? Sangat rugi kerana peluang yang terbaik hanya datang sekali sahaja dan sukar untuk dicari. Alamak! Jawapan saya, saya tidak akan sesekali merelakan diri untuk mengajar anda perkara tersebut kerana saya sendiri pun tidak mahu menciptanya. Kenapa?

Duit oh duit...
Kerana mereka silap dan anda juga silap sekiranya mengikuti mereka. Pernahkah anda terfikir, apakah MLM yang mereka jalankan itu menjual produk atau menjual orang atau menjual pangkat? Pernahkah anda melihat mereka menghebahkan produk-produk mereka? Yang dihebahkan hanyalah, duit, duit dan duit. Tidak henti-henti, duit, duit dan duit. Di manakah produknya? Jadi mereka menjual apa sebenarnya? Mereka menjual orang, jawab saya. Mana tidaknya, jika anda masuk di bawah mereka (downline), mereka akan dapat duit. Seterusnya, anda akan mencari mangsa yang baru, maka anda (upline) pula akan dapat duit daripadanya dan begitulah seterusnya transaksi jual beli orang berlaku. Selain itu, ada juga MLM yang menjual pangkat sebagai langkah meringkaskan pelan pemasaran yang telah sedia ada. Jadi, anda tidak perlu lagi menjual produk, anda hanya perlu mencari mangsa baru untuk diletakkan di bawah anda dan lakukan seperti tadi, jual orang sahaja. Ada juga MLM yang lagi senang, hanya klik sahaja anda akan memperoleh pulangannya. Itu pun sama seperti tadi, jual orang sahaja. Memang senang tetapi apakah hasil duit yang anda terima itu diberkati Allah?

Duit oh duit...
Jika anda mengatakan bahawa zaman sekarang sudah moden dan berteknologi tinggi, maka sistem perniagaan seperti inilah yang sesuai dengan zaman yang serba canggih ini. Anda silap. Mungkin anda lupa bahawa pada zaman-zaman terdahulu juga telah mempunyai teknologi yang tinggi sesuai dengan zamannya dan tidak mustahil sistem perniagaan seperti MLM ini pernah wujud ketika itu. Apakah anda tidak terfikir, kenapa Nabi Muhammad berniaga dan menunjukkan cara-cara berniaga yang sebenar dan berlandaskan syari’at agama? Bukankah kehadiran Nabi Muhammad itu pemberi sinar kepada masyarakat Jahiliyyah ketika itu? Bagi saya, tidak salah menceburi bidang MLM ini asalkan anda memilih sebuah syarikat yang kukuh dan menjual produk semata-mata. Produk tersebut mestilah halal, bersih, berkualiti dan mampu memberikan kebaikan kepada para pengguna dengan harga yang bersesuaian. Tidak kiralah samada produk pendidikan, kesihatan, kecantikan dan sebagainya. Dalam setiap perniagaan mesti ada risikonya, samada kecil atau besar dan risiko itulah yang akan mendewasakan serta mematangkan kita untuk menguruskan perniagaan dengan lebih teratur dan bijak. Nasihat saya, janganlah anda terpengaruh dengan kata-kata daripada rakan-rakan anda yang menjalankan program dan perniagaan MLM yang menjual orang dan pangkat. Saya juga percaya, mereka tidak dapat menerima kata-kata saya ini kerana fikiran mereka sentiasa di‘brain wash’ setiap kali diadakan perjumpaan bersama mentor-mentor mereka. Anda pun faham apa tugas seorang mentor bukan? Mereka akan dikagumkan dengan kejayaan-kejayaan yang telah dikecapi oleh individu lain. Mereka hanya akan ditayangkan dengan wang ringgit dan kemewahan sahaja. Tentu sekali mereka akan mengatakan bahawa saya ini cemburu dan kolot. Di dalam fikiran mereka telah tersemat, “Lantaklah, biarlah orang lain nak cakap apa, aku tak kisah pun.”. Tetapi bagi saya, mereka itu sebenarnya bongkak dan angkuh. Sedangkan Lim Goh Tong pun tidak dapat menyumbat Genting Highland ke dalam kuburnya, inikan pula mereka. Suatu ketika dahulu, saya juga pernah mengekori 3 buah kumpulan MLM samada yang menjual produk, orang mahupun pangkat. Setiapkali ada perjumpaan, saya akan turut serta tetapi alhamdulillah, hati saya bagaikan telah ditutup untuk menerima MLM yang menjual orang dan pangkat walaupun setelah beberapa kali di’basuh’ minda saya kerana saya takut dan risau sekiranya saya akan menganiaya orang lain pula. MLM yang menjual produk pun saya tolak kerana tiada keserasian. Bak kata orang bijak pandai, jika kita ingin berjaya, lakukan apa yang kita minat dan sentiasa mengambil tahu apa jua kehendak pelanggan kerana di situ ada peluang. Sebenarnya tidak salah sekiranya kita makan gaji sahaja kerana di situ pun ada disediakan tangga untuk dipanjat. Janganlah termakan pujuk rayu rakan-rakan anda.

Duit oh duit...
Hidup ini tiada jalan pintas untuk kita mara ke hadapan bagi mencapai kejayaan. Segalanya bermula daripada bawah dan menaiki tangga demi tangga. Jika kita terjatuh, bangkitlah semula. Mungkin itu ujian daripada Allah untuk menilai tahap keimanan kita. Jika anda mempunyai minat untuk berniaga, contohilah cara perniagaan yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad. Banyak bentuk perniagaan dan perkhidmatan yang boleh anda ceburi. Hasil daripada peluh dan keringat tulang 4 kerat adalah lebih diberkati. Nabi Muhammad boleh sahaja menjadi seorang yang kaya dan jutawan seandainya baginda mahu. Tetapi baginda mengerti bahawa hidup bersederhana adalah lebih sempurna dan tenang kerana ianya tidak akan mengganggu hati dan jiwanya untuk terus menunaikan amanah Allah. Jika anda bekerja bermajikan (makan gaji), bekerjalah mengikut masa yang telah ditetapkan. Jika 8 jam masa diberikan untuk anda bekerja, maka 8 jam jugalah anda mesti penuhi dengan bekerja. Jika ada hutang jam bekerja, gantikanlah dengan kerja lebih masa. Semoga bayaran gaji yang anda peroleh akan diberkati Allah. Begitu juga kepada yang menguruskan perniagaan, disiplin diri amatlah penting. Orang kaya tidak semestinya hatinya tenang dan orang miskin tidak semestinya hatinya gundah. Bezakanlah antara keperluan dan kemahuan serta sentiasa bersyukur dengan apa yang ada. Janganlah menunjuk-nunjuk apa yang kita ada. Jangan kufur dengan nikmat yang telah Allah kurniakan kepada kita semua. Bersyukurlah...

0 ulasan: