Sabtu, November 14, 2009

Kartika Sari Dewi: fail yang digelapkan

Dengan lafaz bismillah pembuka bicara, assalamu'alaikum doaku ke atasmu.

Mari kita imbas kembali sorotan kes sebatan yang dijatuhkan kepada seorang model Muslimah, Kartika Sari Dewi di atas kesalahannya meminum arak di khalayak ramai. Kartika merupakan Muslimah Malaysia pertama yang akan menerima hukuman seperti itu. Walaupun terdapat banyak bantahan dan kecaman yang dikeluarkan oleh musuh-musuh Islam di dalam dan luar negara melalui media massa, namun Kartika tetap dengan pendiriannya untuk menerima hukuman sebatan dengan rela hati tanpa mengemukakan sebarang rayuan kepada pihak mahkamah walaupun dirinya sudah bertaubat. Begitu mulia hatinya. Linangan air mata yang membasahi pipi memaparkan keinsafan dan keikhlasan seorang Muslimah yang telah mengakui akan kesalahannya. Dengan hukumannya itu, Kartika juga ingin menyampaikan mesej kepada sekalian Muslimin dan Muslimah Malaysia terutamanya anak-anak muda yang membelakangkan agama dan sedang hanyut dilanda ombak badai kemaksiatan. Setiap kesalahan pasti ada balasannya. Biarpun terlepas daripada balasan di dunia, belum tentu dapat melepaskan diri di akhirat kelak.

Apa yang dipinta oleh Kartika ialah beliau ingin hukuman sebatan tersebut mestilah berlandaskan hukum Hudud (undang-undang Allah) dan dipertontonkan kepada umum. Sedihnya, Malaysia yang hipokrit dengan pendiriannya yang menyatakan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara Islam masih tidak mampu dan takut untuk menegakkan syiar dan hak Islam di Malaysia. Bagi saya, Malaysia bukanlah sebuah negara Islam tetapi sebuah negara yang bermajoritikan komuniti Islam sahaja. Walaupun pemimpin-pemimpin Malaysia sering menegaskan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara Islam tetapi masih tidak terkeluar dari mulut mereka untuk menghuraikan apakah bentuk pemerintahan Islam yang sebenar seperti yang dituntut oleh agama. Inilah senario yang berlaku kepada pemimpin-pemimpin di Malaysia yang hipokrit dan masih takut dengan ugutan-ugutan dari musuh-musuh Islam di dalam dan luar negara. Hanya lantang bersuara tetapi gagal bertindak. Kerajaan Malaysia masih tiada pendirian yang teguh untuk melaksanakannya. Inilah contoh sebuah negara 'Islam?' yang lemah!
Terdapat perbezaan ketara di antara hukuman sebat cara Islam (Hudud) dengan sebat cara sekular seperti yang dijalankan di Malaysia dari dulu, kini dan 'selamanya?'. Hakikatnya, sebatan cara sekular adalah zalim dan kejam berbanding sebatan cara Islam (Hudud). Inilah di antara kesan-kesan penjajahan yang masih lagi dipraktikkan di Malaysia yang 'merdeka?' ini. Cuba kita bandingkan antara kedua-dua hukuman tersebut:

Sebat cara Islam (Hudud);
01 panjang rotan tidak lebih 1.22 meter dan tebalnya tidak lebih 1.25 sentimeter
02 jika pesalah hamil, hukuman akan dilaksanakan 2 bulan selepas melahirkan anak
03 sebatan tidak boleh kena pada muka, kepala, perut, dada dan bahagian sulit
04 pesalah lelaki disebat berdiri manakala perempuan dalam keadaan duduk
05 sebatan dengan kekuatan sederhana
06 tukang sebat tidak boleh mengayun rotannya (mengangkat tangannya) melebihi kepala
07 tidak melukakan kulit pesalah

Sebat cara sekular di Malaysia dari dulu, kini dan 'selamanya?';
01 rotan yang digunakan terdiri daripada pelbagai saiz
02 pakaian pesalah akan ditanggalkan dan hanya digantikan dengan cawat
03 cawat hanya menutupi bahagian kemaluan depan sahaja
04 bahagian daging punggung akan terdedah untuk disebat
05 pesalah akan dibaringkan secara berdiri pada patung yang dikhaskan dan diikat kedua-dua kaki dan tangan
06 sesetengah tukang sebat menyebat dengan cara terus dan sesetengahnya dengan cara sentap
07 sebatan dengan cara sentapan lebih sakit dan memeritkan kerana dirasakan cebisan kulit tersentap keluar!

Lihatlah! Betapa kejamnya hukuman sebat cara sekular! Kita sebagai umat Islam wajib menegakkan undang-undang Allah di muka bumi Malaysia ini. Bagi yang cetek dan jahil ilmu agama, tentu sekali mengatakan bahawa hukum Hudud adalah kejam dan mengaibkan. Untuk pengetahuan anda, hukum Hudud dilaksanakan kepada umat Islam sahaja, tidak termasuk golongan bukan Islam yang pelbagai di Malaysia ini. Sebelum dijatuhkan hukuman juga, beberapa perkara telah disusun dengan cantik bagi mensahihkan sesuatu kes. Nasihat saya, dalamilah ilmu berkenaan hukum Hudud ini sebelum melontarkan suara-suara sumbang kerana ianya bermain dengan soal aqidah seseorang.

Kadangkala, seseorang itu nampak berintelek dan berpelajaran tinggi tetapi cetek pemikirannya dalam membicarakan hal-hal agama Islam. Hukum hudud ini merupakan sebuah undang-undang yang cantik dan kemas yang telah diciptakan oleh Maha Pencipta lagi Maha Bijaksana. Jika anda tidak mahu lagi kes rompakan, pembunuhan, rogol dan jenayah-jenayah lain berlaku di Malaysia, tegakkanlah hukum Hudud ini. Biar kita mati kerana memperjuangkan hak-hak Allah daripada kita mati tanpa berbuat apa-apa. Janganlah kita hanya melanguk dan menanti sahaja zaman kebangkitan semula. Selagi masih ada kesempatan, selagi itu kita mesti bergerak. Jika anda menyatakan hukum Hudud zalim dan tidak berperikemanusiaan, awas! Anda telah murtad! Berhati-hatilah ketika membicarakan sesuatu yang kita sendiri tidak arif.

0 ulasan: