Selasa, November 24, 2009

oh! dilema Melayu

Dengan lafaz bismillah pembuka bicara, assalamu’alaikum doaku ke atasmu.

Di dalam artikel kali ini, saya ingin menegur secara terbuka berkenaan sikap sesetengah individu yang terlalu mempunyai sikap buruk sangka terhadap saudara seIslam yang lain. Saya rajin juga bersiar-siar di saluran-saluran forum yang tersedia di Tagged dan membaca setiap komen yang diberikan. Ada yang positif, ada yang negatif, ada yang menggunakan pertimbangan akal berbekalkan ilmu pengetahuan yang luas dan ada juga yang hanya mengikut nafsu amarah semata-mata. Nasihat saya begini, jika anda ditanya oleh rakan forum anda mengenai sesuatu perkara yang bercanggah dengan pendirian anda atau boleh membangkitkan perasaan marah anda, tinggalkanlah ia untuk lima minit atau sejam atau sehari (bergantung kepada tahap emosi) untuk anda menstabilkan semula emosi anda agar komen yang akan anda nyatakan nanti tidaklah berlandaskan nafsu dengan niat untuk membalas dendam atau mengaibkan rakan tadi. Berikanlah jawapan atau hujah yang rasional. Untuk mengelakkan anda memberikan komen atau bidasan yang membabi-buta, carilah ilmu dan jangan malas untuk membaca. Sekiranya tidak termampu untuk anda menjawab cadangan atau soalan yang diberikan, bersikap jujurlah kepada diri sendiri dan buang sikap ego untuk menyatakan kelemahan anda itu kerana anda akan dapat mempelajari sesuatu yang baru. Begitu juga jika anda dipuji, elakkan dari diselubungi dengan sifat riak dan takbur. Semoga dengan setiap topik yang diperbahaskan di forum, akan melahirkan satu titik pertemuan di penghujungnya.

Berbalik kepada topik asal tadi, terdapat seorang hamba Allah yang menyatakan dengan lantang yang beliau menolak sekeras-kerasnya jika Malaysia yang tercinta ini dipimpin oleh seorang yang beragama Islam tetapi bukan berbangsa Melayu kerana takut pemimpin tersebut tidak akan berlaku adil dan menyebelahi bangsanya sendiri. Oh, dilema Melayu yang sentiasa hidup dalam keadaan aman, dilimpahi kesenangan dengan kedudukan istimewa yang tidak mampu diganggu-gugat oleh sesiapa. Istimewakah kita di mata Allah? Mulia sangatkah bangsa Melayu ini di sisi Allah? Apakah ada ketuanan kita dinyatakan di akhirat kelak yang akan melepaskan kita dari ditimbang amalan kita dan terlepas dari azab seksa api neraka? Sememangnya umat nabi Muhammad ini akan tetap ke syurga akhirnya tetapi bukan bermaksud kita akan terus melangkah masuk ke syurga (tanpa dinilai amalannya) tanpa menyinggahi pintu-pintu neraka. Begitulah sifat bongkak yang dinyatakan oleh hamba Allah tersebut. Ingatlah, sesiapa sahaja yang diangkat sebagai pemimpin Malaysia itu adalah di atas kehendak Allah dan mereka yang jatuh dari kedudukannya juga di atas kehendak Allah yang mana dibsebaliknya ada tersimpan hikmah-hikmah untuk kita.

Saya, Muhammad Azam seorang Islam, Ridhuan Tee seorang Islam, Farid Ravi seorang Islam, Ann Wan Seng juga seorang Islam. Jangan dipersoalkan keimanan mereka kerana Allah sahaja yang berhak untuk menilainya. Mereka cuma insan biasa yang dikurniakan kelebihan dan kelemahan masing-masing. Alangkah indah dan perkasanya kita jika mereka bersatu, bermuafakat dan bekerjasama agar setiap ruang kelemahan yang ada dapat dikunci bersama. Bukankah musuh-musuh Islam yang ada di sekeliling kita sentiasa memerhatikan gerak-geri kita dan mencari setiap ruang kelemahan yang ada pada kita. Jika kita tidak bersatu teguh, kita tidak akan dapat memiliki kunci untuk menutup pintu kelemahan kita itu tetapi kita memberikan kunci tersebut secara percuma kepada musuh-musuh Islam yang terlalu menginginkannya. Jangan biarkan musuh-musuh Islam mendapat kunci berharga tersebut yang lebih tinggi daripada nilai emas untuk menyelinap masuk ke dalam pintu-pintu kelemahan kita yang terbuka ruang untuk menghancurkan kita sebagai umat Islam. Ingatlah, janganlah kita membeza-bezakan mereka mengikut warna kulit dan susur galur bangsanya kerana hanya orang yang tinggi ketaqwaannya sahaja dipandang mulia selain memiliki martabat yang tinggi di sisi Allah.

Sekiranya seorang pemimpin itu lemah, sombong dan tidak berlaku adil serta menyimpang dari landasan kepimpinan sebagai seorang Islam, berbincanglah dan berikan teguran kepadanya dengan cara yang baik. Tunjukkanlah cara dan tauladan yang baik kepadanya di samping berbekalkan doa kepada Allah dengan diri dan hati yang bersih. Mengutuk, mencaci dan memfitnah bukanlah jalan penyelesaiannya kerana Syaitan dan Iblis tetap bersama perjuangan orang-orang yang bersikap seperti itu. Semoga dengan tauladan dan keberkatan doa yang kita pohon, dapat mengubah pandangan dan hati pemimpin yang sombong dan dangkal itu. Jadilah seperti air yang dapat melembutkan kerak nasi, dapat membentuk batu yang keras dan dapat memadamkan api yang marak. Seorang pemimpin Islam yang paling bagus adalah dia bermula daripada seorang pengembala kambing atau mempunyai sikap dan sifat seperti seorang pengembala kambing sebagaimana Nabi Muhammad, pemimpin ulung kita.

Selusurilah kepimpinan junjungan kita yang digelar Muhammad Al-Amin yang sangat hebat itu dan menjadi ikutan insan di dunia ini. Segala wahyu dari Tuhannya telah disampaikan kepada insan-insan di mana Al-Quran suci jadi panduan kepada umatnya. Kita sebagai umat Nabi Muhammad kekasih Allah sangat beruntung jika dibandingkan dengan umat-umat yang terdahulu. Salah satunya ialah setiap orang daripada kita hari ini memiliki mukjizat yang juga dimiliki oleh Nabi Muhammad iaitu Al-Quran yang bersifat an-Nur (cahaya), al-Mubin (penerang), al-Huda (petunjuk) dan ar-Rahmah (kerahmatan). Jadikanlah ia sebagai panduan untuk titik noktah kepada pelbagai pencarian dan perselisihan kita selama ini sebelum Kalamullah yang mempunyai 30 juz, 114 surah dan 6236 ayat ini diangkat kembali ke langit dan janganlah dibiarkan sahaja Al-Quran disimpan di dalam almari atau di atas rak sehingga berhabuk. Bacalah setiap hari walaupun sepotong ayat, semoga ia dapat menolong kita di alam barzakh dan alam akhirat nanti. Kita sendiri pun tidak tahu apa akan berlaku kepada kita lima minit atau sejam kemudian. Mungkinkah ada hari esok untuk kita?

0 ulasan: