Sabtu, November 14, 2009

bangsa=Melayu , agama=Islam

Dengan lafaz bismillah pembuka bicara, assalamu'alaikum doaku ke atasmu.

Pada artikel kali ini, saya ingin membicarakan berkenaan dengan bangsa Melayu dan agama Islam. Berbeza dengan bangsa-bangsa lain yang menganuti pelbagai agama di dalamnya tetapi bangsa Melayu lebih berkait rapat dan sebati dengan ajaran agama Islam walaupun kita sedia maklum bahawa Melayu dan Islam merupakan dua istilah yang berbeza. Melayu adalah bangsa manakala Islam pula adalah agama. Eratnya hubungan antara bangsa Melayu dengan agama Islam ini sehinggakan ada di antara bangsa lain seperti Cina yang telah dibukakan hidayahnya untuk memeluk agama Islam, mengatakan dia ingin menjadi seorang Melayu. Ini menunjukkan bahawa bangsa Melayu dan agama Islam mempunyai kaitan yang sangat rapat dan intim berbeza dengan bangsa lain.

Pendek kata, sekiranya anda lahir sebagai seorang Melayu, secara fitrahnya anda merupakan seorang Islam. Alhamdulillah, apabila kita lahir sahaja di dunia ini, terus mendapat jalan yang lurus. Akan tetapi, ia tidak bermaksud kita tidak perlu mencari atau menghayati erti Islam sebenar yang perlu ada pada diri kita dan tidak semestinya kita akan terus melangkah ke syurga tanpa singgah di naraka walaupun telah dijanjikan syurga untuk kita di akhirnya. Semuanya bergantung kepada amalan kita di dunia ini sebagai tempat di mana kita diuji oleh Maha Pencipta.

Soalan saya, apakah seseorang Melayu itu mempunyai pegangan agama Islam yang utuh? Kita seharusnya berasa malu dan segan sekiranya ada bangsa lain yang berbeza pegangan agama menegur kita berkenaan perilaku kita yang melanggar tatacara sebagai seorang yang beragama Islam. Mereka bukan tidak tahu semua itu dan lebih malu lagi kerana golongan Mu'alaf yang telah menerima hidayah untuk kembali ke jalan Allah lebih mentaati dan mendalami ajaran Islam berbanding kita yang sudah automatik beragama Islam. Sepatutnya kita lebih arif dan membimbing mereka.

Mengapa bangsa lain kurang untuk menerima ajaran Islam sebagai anutan khususnya di Malaysia? Ini kerana kita bangsa Melayu sendiri gagal mencerminkan ajaran Islam yang sebenar kepada mereka. Mereka melihat bangsa Melayu yang beragama Islam ini sama seperti mereka seperti melakukan maksiat dan zina, berjudi, meminum arak, bertatu dan sebagainya. Apakah perbezaan antara orang Islam dan kafir? Ialah solat 5 waktunya. Tetapi malangnya ia diremehkan sendiri oleh bangsa Melayu yang kononnya beragama Islam ini. Ada segelintir bangsa Melayu yang hipokrit, mengaku sebagai seorang Islam dan ingin memperjuangkan agama Allah tetapi hakikatnya Islamnya hanya di Mykad sahaja.

Di akhir-akhir ini juga telah ramai di kalangan bangsa Melayu yang telah berjaya dipesongkan aqidahnya dan ada juga yang telah berjaya dikristiankan atau dimurtadkan. Mengapa perkara ini boleh berlaku? Kita haruslah sedar bahawa musuh-musuh Islam ada disekeliling kita yang cuba sedaya-upaya untuk mengkafirkan atau memurtadkan kita. Kita lihat sahaja di dalam ruangan komuniti sosial seperti Tagged, terpampang secara terang-terangan yang mana kita dapat lihat iklan berkenaan ‘marriageandgod.com’, ia merupakan sebuah laman web untuk mempengaruhi aqidah kita dan menyebarkan agama kristian ke seluruh dunia. Amat bahaya bagi golongan anak-anak kecil dan remaja mentah yang sudah mahir mengklik sana sini segala hebahan atau ruangan di internet. Mereka seharusnya disuapkan dengan ilmu-ilmu agama oleh ibu ayah mereka agar tidak mudah terpesong dan terkeliru.

Kita sebagai umat Islam wajib yakin dengan pegangan kita dan tiada Tuhan lain yang disembah melainkan Allah sahaja sepertimana janji dan sumpah taat setia kita kepada Allah dengan pengucapan 2 Kalimah Syahadah. Perlu diingat, murtad itu sangat bahaya! Segala amalan kita akan terpadam keseluruhannya jika kita murtad! Banyak punca boleh mendatangkan murtad seperti perbuatan dan lisan. Contohnya jika anda mengatakan agama Islam dan semua agama lain adalah sama, anda telah murtad. Jika anda melakukan sesuatu seperti penyembahan atau kepercayaan yang dilakukan oleh agama lain, anda telah murtad. Paling bahaya ialah kata-kata yang datang dari hati, ia juga boleh mendatangkan murtad. Jadi, berwaspadalah kita semua supaya hidup kita di dunia ini tidak sia-sia dan sama-samalah kita berpegang kepada iman, amal dan taqwa.

0 ulasan: