Selasa, November 24, 2009

runtuhnya Melayu mendakap Jahiliyyah

Dengan lafaz bismillah pembuka bicara, assalamu’alaikum doaku ke atasmu.

Perkataan Jahiliyyah dari segi bahasa berasal daripada kata kerja ‘jahala’ yang bermaksud tidak berilmu. Dari segi tamadun ia merujuk kepada masyarakat Arab sebelum kedatangan Islam. Kalau hendak dikatakan mereka jahil dan bodoh, ia kurang tepat kerana mereka telah maju dalam pelbagai bidang seperti perniagaan, seni bina, ukiran, pembinaan empangan, pertanian dan kesusasteraan. Jadi apa yang dimaksudkan sebagai Jahiliyyah ialah kejahilan mereka dalam bidang agama, akhlak dan ketuhanan. Ini menjadikan mereka tidak beradab. Sikap mereka yang biadab inilah yang dinamakan tidak bertamadun. Justeru, tamadun itu diukur dari aspek nilai rohani dan bukan dari segi fizikal atau jasmani semata-mata.

Bagi memahami maksud dan ciri-ciri jahiliyah dengan lebih jelas, perhatikan ucapan Jaafar bin Abi Talib sebagai ketua rombongan ke Habsyah (Najasyi) yang berhijrah lantaran penyeksaan yang dilakukan oleh orang-orang Musyrikin di Mekah;

“Wahai tuan, kami dahulunya adalah kaum yang jahil, kami menyembah berhala, kami memakan bangkai, kami melakukan perkara-perkara keji dan tercela, kami memutuskan silaturrahim, kami memutuskan hubungan keluarga, kami melupakan jiran tetangga, serta menindas kaum yang lemah, sehingga akhirnya telah datang kepada kami seorang Rasul yang menyeru ke jalan Allah, menyeru kami supaya mentauhidkan Allah, menyuruh kami menunaikan janji, menghubungkan silaturrahim, berbaik-baik kepada jiran, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa, melarang kami melakukan kemungkaran, bercakap bohong, memakan harta anak-anak yatim, serta melarang kami mencemarkan wanita yang bersih dan baik. Apabila kami memeluk Islam, segala yang haram kami jauhi dan yang halal kami laksanakan. Disebabkan itu masyarakat memusuhi kami”.

Hari ini, cuba kita lihat sendiri keadaannya di negara sekular kita ini, Malaysia yang dicintai. Keadaannya terbalik seperti yang dinyatakan di atas. Mereka kaum Quraisy mengalami zaman Jahiliyyah sebelum datangnya agama Islam sebagai pembawa sinar daripada kegelapan tetapi bangsa Melayu di sini yang secara fitrahnya dilahirkan sebagai seorang Islam, semakin hari semakin ramai yang hanyut dan lemas menuju ke zaman Jahiliyyah. Di manakah silapnya? Ibu bapakah? Sekolahkah? Atau diri sendiri? Mari kita selusuri dari manakah puncanya.

Musuh-musuh Islam yang berada di serata dunia sentiasa mencari ruang dan peluang untuk mengahancurkan umat Islam. Mereka belajar daripada kesilapan lampau seperti ketika berlakunya beberapa siri Perang Salib dan kegemilangan pemerintahan Khilafah Islamiyyah yang akhirnya rebah tersungkur ke bumi. Bagi mereka, sungguh sukar untuk melawan umat Islam dengan cara peperangan kerana mereka telah sedar bahawa umat Islam berperang dengan membawa aqidah bersamanya dan untuk mati (semangat Jihad Fisabilillah) berbanding mereka yang berperang kerana untuk meneruskan hidup. Lantas, dengan perbincangan dan kesepakatan yang ada, mereka telah mencapai satu strategi baru yang telah berjaya menewaskan umat Islam keseluruhannya terutama di Malaysia sehingga ke hari ini. Strategi mereka ialah memisahkan umat Islam daripada pegangan aqidahnya secara perlahan-lahan dengan cara memasukkan budaya-budaya kuffar ke dalam kehidupan umat Islam tanpa memusnahkan identiti Islam itu sendiri. Sungguh licik mereka berperang. Umpama pepatah Melayu ada mengatakan, ‘kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya’.

Si muda dengan mat rempit, dadah, alkohol, tatu, bohsia dan bohjan, hidu gam, ragut/rompak/curi, rogol, seks (normal, gay, lesbian, incest), lucah, hiburan, kekayaan duniawi (duit), sukan, pertandingan ratu dan telalu banyak lagi untuk disenaraikan. Bukan itu sahaja, si tua pun sama malah ada pula yang memberi contoh dan mengajar anaknya melampiaskan nafsu dan kemarahan, berburuk sangka, saling membenci dan bercakaran dek kerana dicengkam fahaman politik yang berbeza. Sungguh hebat sekali bangsaku Melayu yang sentiasa menduduki carta teratas keruntuhan moral di Malaysia ini. Sehinggakan kanak-kanak seusia 13 tahun pun sudah mengenali kenikmatan seks melalui layaran internet dan kemudian meluahkannya pula di portal sembang maya (chat), mencari rakan untuk dipersembangkan bagi mendapatkan keseronokan bersama. Bermula daripada seorang, ia akan menular kepada individu-individu yang lainnya.

‘Play more, learn more’ itulah mesej yang disampaikan oleh Milo sebagai sebuah produk buatan Yahudi Laknatullah untuk mempengaruhi umat Islam sejak dari kanak-kanak lagi. Mengapa tidak diajarkan anak-anak ini untuk mengenali dan mendekatkan diri kepada Tuhan yang Maha Esa? Adakah ibu bapa sudah buta akan ‘alif-ba-ta’ untuk mengajarkan anak-anaknya Iqra’, Muqaddam dan al-Quran? Adakah ibu bapa sudah tidak mempunyai masa untuk menyampaikan ilmu-ilmu agama hanya kerana mengejar kemewahan duniawi, syurga Al-Masih Ad-Dajjal? Anak-anak itu adalah amanah Allah untuk dididik dan pelihara dengan baik. Bukan disia-siakan begitu sahaja (pecah amanah Allah).

Bangsa Arab menjadi unggul di zaman Nabi Muhammad SAW, zaman Khulafa’ ar-Rasyidin, zaman Ummaiyyah, zaman Fatimiyyah. Bangsa Parsi menjadi ulung di zaman Abbasiyyah. Bangsa Turki menjadi masyhur di zaman Uthmaniyyah. Bangsa Tartar menjadi gemilang di zaman Mughal di India. Bangsa Melayu di Malaysia? Terus bergelumang dengan kejahilan yang dibawa oleh arus pemodenan Barat yang terselit manifesto pihak musuh. Apakah ini akibat daripada tamadun bangsa Melayu yang pernah gemilang suatu masa dahulu yang akhirnya berjaya digelapkan oleh musuh-musuh Islam? Jangan dipisahkan antara bangsa Melayu dengan agama Islam. Bangsa Melayu adalah jatidiri, agama Islam adalah pegangan. Tanpa jatidiri, umpama sebatang pokok yang ‘hidup segan, mati tak mahu’, dan tanpa pegangan erat akarnya, sebatang pokok itu tidak mampu untuk berdiri tegap dan longlai ditiup angin serta tidak mampu menyara dirinya untuk meneruskan hidup apatahlagi membuahkan hasil (daun, bunga dan buah) yang menjadi nikmat kepada penghuni alam yang lainnya. Jadilah sebatang pokok yang sempurna, agar dipandang mulia oleh setiap orang yang melihatnya. Mulianya bangsa Melayu adalah kerana pegangan agama Islamnya.

Bangkitlah wahai bangsaku. Apakah kalian sudah lupa kita sedang berada di permulaan kepada pengakhiran? Maksud saya, kita sedang berada di ambang kemunculan tanda-tanda besar Qiamat sesudah berakhirnya tanda-tanda kecil Qiamat dunia. Kita telah digegarkan dengan beberapa gempa bumi yang berlaku berturut-turut di Indonesia. Apakah maksudnya? Apakah iktibarnya? Tidak terkesankah di hati kita apabila melihat penderitaan umat Islam di Palestin yang diseksa setiap hari dan rancangan Yahudi untuk merobohkan Masjidil Aqsa yang sedang giat dijalankan (jangan dikelirukan oleh Yahudi, kubah kuning emas yang sentiasa anda lihat bukanlah Masjidil Aqsa yang sebenar tetapi ia adalah Kubah As-Sakhrah ataupun ‘Dome of the Rock’ yang dibina oleh Khalifah Abdul Malik bin Marwan. Wajah Masjidil Aqsa yang sebenar ialah berkubah hitam). Kita di sini? Tersedar hanya seketika sahaja tetapi kemudian masih lagi menerapkan budaya Jahiliyyah dalam kehidupan seharian. Berjihadlah dengan memperbetulkan diri sendiri dahulu.

Saya tidak pandai berkata-kata untuk menyeru kalian ke jalan Allah, saya hanya pandai menulis dan merintih, itulah perjuanganku. Semoga anda mendapat manfaat dengan apa yang ditulis.

0 ulasan: