Khamis, Disember 03, 2009

kami dianiaya, kami dizalimi...



Dengan lafaz bismillah pembuka bicara, assalamu’alaikum doaku ke atasmu.

Beberapa hari lepas, kita diperhebahkan dan diperbesar-besarkan oleh media yang dikongkong oleh pihak berkepentingan dengan kisah seorang pemimpin agama, Nik Abdul Aziz yang mendoakan agar diturunkan musibah kepada kerajaan pemerintah. Kita turut dicanangkan bahawa perlakuan pemimpin itu memburukkan agama Islam di mata umum. Ada juga yang mencadangkan agar pemimpin itu meletakkan jawatannya kerana telah lari daripada dasar kepimpinan pertubuhan itu sendiri.

Ingin dinasihatkan di sini, janganlah kita mudah terpedaya dengan tohmahan yang dilontarkan dan usahlah kita menuding jari kepadanya tanpa sebarang usul periksa yang sahih terutamanya kepada anda yang baru sahaja mencapai umur baligh. Lebih afdal jika anda senyap sahaja daripada terus menyebarkan fitnah.

Sabda Rasulullah: “Bersegeralah melakukan amal-amal soleh sebelum datangnya fitnah-fitnah seperti sepotong malam yang gelap gelita. Pada pagi hari seorang masih beriman, tiba-tiba pada petang harinya dia telah menjadi kafir dan ada yang pada petangnya masih beriman, tiba-tiba pada pagi harinya menjadi kafir, dia menjual agamanya dengan kekayaan dunia.”
(Riwayat Muslim)

Bagi saya, doa yang dipanjatkan oleh Nik Abdul Aziz bukanlah sesuatu yang salah dari segi agama tetapi ianya merupakan sesuatu langkah terakhir daripada seseorang individu atau pihak yang telah berusaha untuk keluar daripada cengkaman penganiayaan dan penzaliman yang dilakukan oleh pihak yang lain sepertimana kita menglaknat kekejaman Yahudi Zionis kepada rakyat Palestin. Deretan doa agar dilembutkan dan dibukakan pintu hati pemerintah telah sekian lama dipohon, namun perjuangan untuk mendapatkan hak masih belum berjaya. Doa Nik Abdul Aziz itu telah menzahirkan kepada kita bahawa betapa payahnya perjuangan ini dan mungkin itu adalah rintihannya yang terakhir sebelum pengundurannya dengan niat supaya pihak pemerintah sedar akan kesilapannya. Namun perjuangan masih belum selesai. Inilah di antara salah satu kekotoran yang ditimbulkan oleh sistem pemerintahan Yahudi Laknatullah iaitu Demokrasi. Suara minoriti hanya didengari umpama rintihan sepi tanpa diendahkan oleh majoriti. Tetapi walaupun ianya sekadar rintihan, tidak bermakna ianya bergerak secara bersendirian kerana masih ada lagi segerombolan manusia di belakang tabir yang tidak mahu dikenali akan sama-sama turut memperjuangkannya. Rintihku, Perjuanganku. Ingatlah, walaupun pahit menongkah fitnah dan penderitaan kezaliman, tentera Islam yang tabah, sabar dan ikhlas pasti akan menang, insyaAllah pada masa yang telah dijanjikan nanti. Segala apa yang berlaku ini adalah kehendak Allah sendiri supaya hamba-hambanya sentiasa beringat.

Alkisah, ada seorang wanita miskin tinggal di sebuah rumah buruk yang bersebelahan dengan istana raja. Oleh kerana keadaan rumah buruk tersebut telah merosakkan pemandangan, lalu raja itu menyuruh orang-orangnya untuk merobohkan rumah itu. Apabila wanita itu tahu rumahnya telah dimusnahkan, dia merasa teramat sedih dengan perbuatan raja itu. Pada malamnya, wanita itu bermunajat memohon agar dibinasakan raja yang zalim itu. Doa orang yang dizalimi dimakbulkan Allah, lantas istana tersebut runtuh sehingga kesemua penghuninya termasuk raja tadi mati dalam kebinasaan itu.

Berbalik kepada tajuk asal, perbalahan di antara mereka (Hijau dan Merah) umpama adik-beradik di dalam satu keluarga. Merah ibarat adik yang degil dan suka berpeleseran, suka mendengar kata-kata kawan-kawan yang rosak, tidak mahu sembahyang dan suka memasang radio kuat-kuat. Hijau pula adalah abang yang garang. Abang yang pernah mengaji agama dan faham hukum-hukum agama. Si abang terus memarahi si adik, merotannya dan mengingatkan tentang balasan Tuhan, namun si adik merasa tersinggung dengan sikap abang. Jauh di hati kecil si adik, sayang terhadap agama itu masih ada namun dirinya amat lemah dengan godaan dunia dan nafsu. Namun cara si abang amat dibencinya. Adik mula memaki hamun abang dan kemudian giliran abang pula yang berkecil hati dengan si adik. Kemudian masing-masing menjauhkan diri. Semoga mereka dapat bersatu kembali demi memartabatkan kembali maruah Islam sebagai sebuah gagasan kebangkitan semula Islam di akhir zaman ini.

Di sini saya sertakan sekali rakaman rancangan Hujah yang disiarkan oleh TV9 baru-baru ini untuk tatapan kita bersama. La ila ha illa anta subhanaka inni kuntum minazzolimin...







zuhud: kaya dalam miskin

Dengan lafaz bismillah pembuka bicara, assalamu'alaikum doaku ke atasmu.

Kadangkala kita berasa tidak cukup dengan apa yang ada walaupun ianya sudah memadai untuk menampung kehidupan kita seharian. Umpama jika seseorang itu diberikan sebuah gunung emas, pasti dia akan meminta yang ke duanya. Itulah mainan syurga duniawi yang membuatkan kita tidak bersyukur dengan limpah rezeki yang dikurniakanNya. Kita gagal untuk mengawal bisikan nafsu dan hasutan syaitan yang akhirnya kita pula yang dikuasainya walaupun kita dianugerahkan akal dan pegangan tauhid untuk menidakkannya.

Duit oh duit... Duit boleh membuatkan seseorang itu megah dan rebah, baik dan jahat, mulia dan fitnah. Duit juga boleh membuatkan seseorang itu dapat menggapai segala impiannya. Sebuah impian yang tiada peghujungnya. Itulah mainan syurga duniawi yang berjaya membutakan mata hati. Sesiapa sahaja perlukan duit. Duit bukanlah segalanya tetapi segalanya memerlukan duit. Di dalam hal ini kita haruslah seimbang dalam menguruskan tuntutan agama dan tuntutan kehidupan.

Bagi anda yang masih belum pernah berhutang terutamanya kepada golongan remaja yang sedang gilakan keremajaannya, nasihat saya, janganlah berhutang. Bezakan di antara keperluan dan kemahuan. Anda harus bijak dalam menguruskan kewangan. Hutang yang melampau adalah bahaya kerana ianya akan mendesak kita untuk melakukan sesuatu yang mungkin di luar jangkaan akal fikiran dan di luar batasan agama. Adalah lebih baik jika kita membuat persediaan awal seperti mencari pekerjaan yang stabil dan duit yang diperolehi disimpan dan dilaburkan mengikut panduan syari'ah. Pelaburan mengikut syari'ah tidak berapa menguntungkan berbanding konvensional kerana seperti yang kita tahu, dunia bukanlah untuk umat Islam tetapi ianya halal, selamat dan berkat untuk digunakan. Kita lihat sahaja ekonomi dunia sekarang ini, Malaysia dikenali dunia dengan perbankan Islamnya yang kukuh.

Selain itu, anda juga boleh membuka dan menjalankan perniagaan atau perkhidmatan. Tetapi ingat, ianya mesti mempunyai produk sepertimana yang telah saya terangkan sebelum ini. Tidak salah untuk kita menceburi perniagaan MLM yang mempunyai produk yang sangat baik manfaatnya kepada masyarakat. Nawaitu perlulah betul iaitu ingin menjualkan produk tersebut untuk kebaikan bersama dan kerana Allah. Sepertimana tugas seorang promoter di pusat membeli-belah, mereka menjual produk yang disediakan oleh syarikat mereka dan akan menerima komisyen setelah berjaya menjualkannya serta menerima bonus sekiranya melepasi target syarikat.

Walauapapun perniagaan atau perkhidmatan yang anda pilih atau jalankan, pastikan yang ianya bukan menjual orang atau pangkat! Walaupun anda melakukan sesuatu yang salah di sisi agama, anda tetap akan berjaya kerana usaha gigih anda. Adalah tidak adil bagi Tuhan jika hanya mencurahkan rezeki kepada umat Islam sahaja dan menutup pintu rezeki kepada orang kafir. Yang pastinya, kita sedang diuji oleh yang Maha Pencipta.

Islam pun menggalakkan umatnya agar berniaga kerana di situ kita dapat menjana dan mengawal ekonomi negara. Perniagaan juga boleh membuatkan kita kaya dan mewah tetapi biarlah kita kaya dalam miskin iaitu zuhud supaya kita tidak takbur, bermegah-megah dan menunjuk-nunjuk dengan aset yang kita miliki. Umpamanya jika kita mempunyai RM500K, kita hanya membelanjakannya untuk membeli kereta Myvi atau Wira atau Kriss walaupun kita sudah mampu untuk membeli sebuah BMW atau Mitsubishi atau Subaru secara tunai. Hinakah jika kita membeli barangan buatan Malaysia? Begitu juga dengan kediaman, cukuplah dengan hanya selesa sebagai tempat berteduh. Tetapi jangan pula anda memilih skim PPR/PPRT pula kerana ianya bukan hak anda. Saya pula lebih suka tinggal di rumah kampung dengan senibina kayu dan batu. Duit lebihan itu, selain kita dapat meningkatkan lagi perniagaan kita, kita juga dapat menyumbang kepada aset yang kita tidak nampak seperti kebajikan, sedekah, derma dan amal jariyah. Impian saya dari dahulu lagi, saya ingin membina sebuah pusat pemulihan akhlak untuk remaja-remaja Islam yang sudah hanyut. Walaupun ianya nampak mustahil, tetapi dengan hanya niat sebegitu, kita juga dapat pahala daripadanya walaupun perjuangan kita tidak kesampaian. Selain itu, dengan adanya impian seperti itu yang ditanam di dalam hati, ia akan memberikan semangat untuk kita untuk bekerja lebih keras lagi.

Paling senang, lihatlah apek-apek yang hanya berseluar pendek dan berbaju pagoda. Siapa kata dia miskin? Dia sentiasa rasa tenang kerana tiada siapa yang mahu melihatnya, apatahlagi hendak diragut atau dirompak. Dia hanya akan nampak kaya bila tiba hari perayaannya sahaja. Ataupun, cuba kita lihat senario orang kampung. Walaupun mereka nampak daif, tetapi hakikatnya senyuman mereka lebih manis daripada kita yang duduk di bandar. Mereka bukan malas untuk mengejar kebendaan tetapi ianya bukan cara mereka. Mereka lebih tenang dan bahagia dengan apa yang ada dan bersyukur dengan pemberian Illahi. Setelah penat memerah keringat, mereka meluangkan masa petang mereka dengan duduk bersama di bangku kayu di bawah pohon rendang dan bersembang sesama mereka sambil menyaksikan si anak bermain guli, ting-ting, sembunyi ibu dan 'police and thief'. Manakala si nenek pula menabur dedak memberikan ayam dan itik makan di halaman rumahnya. Mereka akan kembali ke rumah, menutup pintu dan tingkap tatkala suasana senja mula menyinsing dan bersiap untuk pergi ke surau dan masjid untuk mendirikan solat Maghrib. Oh, bahagianya suasana kampung. Jadi, biarlah kita kaya dalam miskin iaitu berzuhud. Semoga kita sentiasa dekat denganNya.