Khamis, Disember 03, 2009

kami dianiaya, kami dizalimi...



Dengan lafaz bismillah pembuka bicara, assalamu’alaikum doaku ke atasmu.

Beberapa hari lepas, kita diperhebahkan dan diperbesar-besarkan oleh media yang dikongkong oleh pihak berkepentingan dengan kisah seorang pemimpin agama, Nik Abdul Aziz yang mendoakan agar diturunkan musibah kepada kerajaan pemerintah. Kita turut dicanangkan bahawa perlakuan pemimpin itu memburukkan agama Islam di mata umum. Ada juga yang mencadangkan agar pemimpin itu meletakkan jawatannya kerana telah lari daripada dasar kepimpinan pertubuhan itu sendiri.

Ingin dinasihatkan di sini, janganlah kita mudah terpedaya dengan tohmahan yang dilontarkan dan usahlah kita menuding jari kepadanya tanpa sebarang usul periksa yang sahih terutamanya kepada anda yang baru sahaja mencapai umur baligh. Lebih afdal jika anda senyap sahaja daripada terus menyebarkan fitnah.

Sabda Rasulullah: “Bersegeralah melakukan amal-amal soleh sebelum datangnya fitnah-fitnah seperti sepotong malam yang gelap gelita. Pada pagi hari seorang masih beriman, tiba-tiba pada petang harinya dia telah menjadi kafir dan ada yang pada petangnya masih beriman, tiba-tiba pada pagi harinya menjadi kafir, dia menjual agamanya dengan kekayaan dunia.”
(Riwayat Muslim)

Bagi saya, doa yang dipanjatkan oleh Nik Abdul Aziz bukanlah sesuatu yang salah dari segi agama tetapi ianya merupakan sesuatu langkah terakhir daripada seseorang individu atau pihak yang telah berusaha untuk keluar daripada cengkaman penganiayaan dan penzaliman yang dilakukan oleh pihak yang lain sepertimana kita menglaknat kekejaman Yahudi Zionis kepada rakyat Palestin. Deretan doa agar dilembutkan dan dibukakan pintu hati pemerintah telah sekian lama dipohon, namun perjuangan untuk mendapatkan hak masih belum berjaya. Doa Nik Abdul Aziz itu telah menzahirkan kepada kita bahawa betapa payahnya perjuangan ini dan mungkin itu adalah rintihannya yang terakhir sebelum pengundurannya dengan niat supaya pihak pemerintah sedar akan kesilapannya. Namun perjuangan masih belum selesai. Inilah di antara salah satu kekotoran yang ditimbulkan oleh sistem pemerintahan Yahudi Laknatullah iaitu Demokrasi. Suara minoriti hanya didengari umpama rintihan sepi tanpa diendahkan oleh majoriti. Tetapi walaupun ianya sekadar rintihan, tidak bermakna ianya bergerak secara bersendirian kerana masih ada lagi segerombolan manusia di belakang tabir yang tidak mahu dikenali akan sama-sama turut memperjuangkannya. Rintihku, Perjuanganku. Ingatlah, walaupun pahit menongkah fitnah dan penderitaan kezaliman, tentera Islam yang tabah, sabar dan ikhlas pasti akan menang, insyaAllah pada masa yang telah dijanjikan nanti. Segala apa yang berlaku ini adalah kehendak Allah sendiri supaya hamba-hambanya sentiasa beringat.

Alkisah, ada seorang wanita miskin tinggal di sebuah rumah buruk yang bersebelahan dengan istana raja. Oleh kerana keadaan rumah buruk tersebut telah merosakkan pemandangan, lalu raja itu menyuruh orang-orangnya untuk merobohkan rumah itu. Apabila wanita itu tahu rumahnya telah dimusnahkan, dia merasa teramat sedih dengan perbuatan raja itu. Pada malamnya, wanita itu bermunajat memohon agar dibinasakan raja yang zalim itu. Doa orang yang dizalimi dimakbulkan Allah, lantas istana tersebut runtuh sehingga kesemua penghuninya termasuk raja tadi mati dalam kebinasaan itu.

Berbalik kepada tajuk asal, perbalahan di antara mereka (Hijau dan Merah) umpama adik-beradik di dalam satu keluarga. Merah ibarat adik yang degil dan suka berpeleseran, suka mendengar kata-kata kawan-kawan yang rosak, tidak mahu sembahyang dan suka memasang radio kuat-kuat. Hijau pula adalah abang yang garang. Abang yang pernah mengaji agama dan faham hukum-hukum agama. Si abang terus memarahi si adik, merotannya dan mengingatkan tentang balasan Tuhan, namun si adik merasa tersinggung dengan sikap abang. Jauh di hati kecil si adik, sayang terhadap agama itu masih ada namun dirinya amat lemah dengan godaan dunia dan nafsu. Namun cara si abang amat dibencinya. Adik mula memaki hamun abang dan kemudian giliran abang pula yang berkecil hati dengan si adik. Kemudian masing-masing menjauhkan diri. Semoga mereka dapat bersatu kembali demi memartabatkan kembali maruah Islam sebagai sebuah gagasan kebangkitan semula Islam di akhir zaman ini.

Di sini saya sertakan sekali rakaman rancangan Hujah yang disiarkan oleh TV9 baru-baru ini untuk tatapan kita bersama. La ila ha illa anta subhanaka inni kuntum minazzolimin...







0 ulasan: