Khamis, November 26, 2009

kisah 'Aku', pemuda akhir zaman

Dengan lafaz bismillah pembuka bicara, assalamu’alaikum doaku ke atasmu.

Perjalananku menempuh kedukaan malam.

Sebuah lagu nasyid (Menanti di barzakh) yang membuatkan aku tersentak dari lamunan khayalan dunia yang penuh bersulamkan dusta dan berasa sungguh insaf diri ini tatkala menghayatinya. Hidup itu insyaAllah, mati itu pasti. Semalam aku telah menziarahi seorang sahabat yang baru sahaja kehilangan ibunya yang tersayang. Allahyarhamah telah meninggalkan keluarga dan dunia seluruhnya pada malam Jumaat dan telah dikebumikan pada hari Jumaat juga. Didoakan agar dengan keistimewaan kedudukan Jumaat itu dapat menghindarkan arwah dari seksa azab alam barzakh dan ditempatkan oleh Allah bersama orang-orang yang beriman di akhirat kelak. Semoga arwah selesa di sana sambil menanti seruan panggilan menuju ke padang Mahsyar.

Alhamdulillah, aku sempat membacakan surah Yasin di hadapan jasadnya yang terbujur kaku di pembaringan dengan hanya dibaluti kain putih, seputih itu jualah diharapkan arwah dapat kembali kepada penciptanya. Sungguh pilu hati ini apabila melihatkan keadaannya. Di ketika itu, aku meninggalkan pentas lakonan dunia buat seketika tetapi dia meninggalkannya buat selama-lamanya. Maha Suci Kasih Allah, pintu taubat masih dan sentiasa terbuka untuk ku tetapi dia? Alangkah rugi dan malangnya diriku kerana sikap ku yang suka bertangguh-tangguh untuk bertaubat sedangkan aku tidak tahu bilakah masanya Izrail akan datang menjemput rohku pergi. Rakan-rakan peneman hilaian tawa riangku sering berkata kepadaku, masih banyak masa lagi tetapi aku tidak pasti apakah ada sedetik masa lagi yang akan Dia kurniakan kepadaku selepas ini? Ya Allah, hinanya aku, jahilnya aku... Satu hari bersamaan 24 jam; 10 jam untuk ku memerah keringat mencari rezeki, 4 jam untuk ku bersantai, 8 jam untuk ku tidur dan hanya 2 jam untuk ku meluangkan masa menghadapMu ya Allah. Di ketika itulah aku berjanji di hadapanMu, mengemis secebis kasih dariMu agar diri ini sentiasa dipimpin olehMu untuk menggapai janji-janjiMu. Tetapi sesudah itu, aku kembali ketawa, lalai dan leka dibuai keseronokkan duniawi. Di sinar pagi aku ingat kepadaMu, apabila petang menjelma, aku lupa kepadaMu. Begitulah silih berganti. Oh Tuhan, seringkali aku mungkiri janjiku terhadapMu, aku mendaki gunung dosaku yang tidak berpuncak, aku meninggalkan suruhanMu tetapi Engkau tidak jemu-jemu menurunkan rahmat dan rezekiMu kepadaku. Oh Tuhan, alpanya aku, butanya aku dengan kasihMu...

Oh, dunia... Dunia telah membuatkan aku lupa akan tanggungjawab ku sebagai hambaMu ya Allah. Dunia telah menodai cintaku terhadapMu ya Allah. Oh, dunia... Aku tidak sesekali akan menyalahkanmu dengan kisah syurga cinta kita berdua yang telah membawaku terbang bersamamu tetapi aku akur, aku telah tersilap langkah. Tiada cinta lain yang hakiki selain menaburkan madah-madah cinta, berkorban darah dan keringat serta kesetiaan kepada penciptaku, Allahu Rabbi. Oh Tuhanku, hanya kepadaMu hati ku berbisik syahdu kerinduan. Oh Tuhanku, semoga rasa kecintaan ku terhadapMu bukan palsu. Oh Tuhanku, aku perlukan pimpinanMu agar aku dapat kembali ke laluan yang Engkau redhai. Hanya untukMu aku hidup dan hanya untukMu aku mati. Oh dunia, kau leraikanlah pelukan eratmu dari tubuhku dan ketahuilah bahawa zuhudku meninggalkanmu hanya kerana Allah. Perniagaan dan hartaku hanya untuk mengisi perjalananku menuju ke tempat yang kekal abadi. Aku sangat impikan haruman bauan SyurgaNya semerbak Firdausi.

Setelah selesai aku membacakan surah Yasin, lantas aku keluar menemui sahabatku itu. Aku bersalaman dengannya dan memeluknya erat. Aku katakan kepadanya agar dia kuatkan semangat dan tabahkan hati kerana janji Allah tidak pernah dimungkiriNya dan bersyukurlah kerana ujian yang ditimpakan itu. Namun, hatiku luluh, aku lemah, aku sebak dan aku pula yang menangis sayu kerana terbayangkan ibu ku di rumah. Sampai masa dan gilirannya nanti, aku pula yang akan berkeadaan seperti sahabatku. Oh ibu ku, ampunkanlah segala dosaku yang telah lalu. Walaupun secangkir cuma, maafkanlah aku kerana syurgaku di bawah telapak kakimu. Oh ibu ku, engkaulah cintaku yang ke dua selepas Allah. Terima kasih wahai ibuku kerana telah melahirkan aku, mengasuhku sejak kecil, membelaiku dengan penuh kasih sayang, memberikan didikan yang cukup untuk ku agar aku kelihatan sempurna walaupun aku tidaklah sesempurna seperti yang engkau inginkan. Jangan tangisi aku yang sebegini kerana bukan salah engkau wahai ibuku. Biarlah aku yang berlalu pergi terlebih dahulu daripadamu kerana aku tidak sanggup melihat nisanmu di bawah pohon Kemboja. Selagi rohku masih setia bersama jasadku, selagi itu engkau tidak akan ku persiakan. Bukan duit yang kau pinta tetapi curahan kasih sayang yang kau mahukan. Akan ku kotakan permintaanmu itu, insyaAllah...

Sekembalinya aku ke rumah, aku terus menuju ke bilik dan melandaikan tubuhku di atas katil dengan kepalaku di pangkuan bantal yang cukup empuk. Sambil mataku melihat suasana luar melalui jendelaku. Aku lihat langit yang terbentang luas, disinari cahaya bulan purnama yang indah dan dihiasi dengan kerlipan bintang-bintang yang bertaburan di angkasa raya. Tiba-tiba mataku terpaku melihat awan yang bergerak dihembus angin dan berlalu pergi meninggalkan langit, bulan dan bintang dan akhirnya hilang dari pandangan mataku. Oh awan, sekali lagi aku disedarkan. Ketika hembusan nafas terakhirku nanti, aku juga akan berlalu pergi sepertimu dan hilang dari pandangan mereka semua. Linangan air mataku mula membasahi pipi. Apakah masih ada hari esok untukku? Wahai Raqib, apakah amal kebaikanku sudah cukup membantuku untuk melintas Titian Sirat nanti? Wahai ‘Atid, apakah segala dosaku telah kau padam untuk menyelamatkan aku dari seksa azab api Neraka? Diriku menggigil seketika tatkala membayangkan kehadiran Munkar dan Nakir yang gelap pekat, kilauan mata bak sambaran petir di langit, suaranya umpama guruh yang berdentum di kala awan gelap menyelubungi bumi. Ya Allah ya Tuhanku, Engkau lancarkanlah perjalananku, Engkau berikanlah kekuatan untukku menempuh semua itu. Pimpinlah diri ini yang mendamba cintaMu ya Allah. Aku lemah, aku jahil tanpa pimpinan dariMu. Aku sedar, hambaMu yang hina ini tidak layak untuk melangkah masuk ke syurgaMu, tetapi aku juga tidak sanggup untuk menghadapi api nerakaMu ya Allah.

Aku menjadi takut dan mataku yang masih berlinangan dengan air-air dosa tidak mampu untuk dilelapkan kerana aku takut esok pagi aku tidak dapat bangkit semula. Lantas, aku membersihkan diriku dan membentang sejadah, lalu aku bayar hutang-hutang solatku yang telah lama terbiar dan aku bermunajat memohon keredhaan yang Maha Agung.

Aku adalah pemuda akhir zaman.

0 ulasan: