Sabtu, November 14, 2009

diri cermin agama

Dengan lafaz bismillah pembuka bicara, assalamu'alaikum doaku ke atasmu.

Anda tentu mempunyai kawan dari bangsa lain seperti Cina dan India bukan? Tidak kiralah samada lelaki ataupun perempuan sehinggakan jalinan persahabatan yang terbina menjadi bertambah erat. Kadangkala di dalam perbualan, terpacul dari mulut mereka untuk bertanya kepada anda berkenaan dengan agama Islam. Tidak kurang juga ada segelintir yang menyindir. Tetapi bangsa Melayu lebih suka berdiplomatik, bijak mengatur bahasa untuk menangkis setiap sindiran secara kiasan dengan makna yang menikam jiwa. Ada juga yang mampu menjawab dengan lantang setiap soalan, ada pula yang sekadar mendiamkan diri dan ada juga yang cuma melirik senyuman tersipu-sipu kerana terkena batang hidung sendiri.

Apakah anda sedar bahawa perwatakan dan pembawakan diri anda kepada umum mencerminkan agama yang anda pegangi? Ada di kalangan masyarakat bukan Islam yang tertanya-tanya di hati dan fikiran berkenaan apakah itu Islam. Ada juga yang ingin mengenali dan mendekatkan diri dengan Islam tetapi apa yang mereka lihat di depan mata membuatkan mereka berasa runsing dengan makna Islam yang sebenar. Apa tidaknya, mereka pernah bertanya:

-"Kenapa orang Melayu ada yang pakai tudung? Ada yang tak pakai tudung? Ada yang pakai tudung labuh dan ada yang bertudung singkat? Ada yang pakai baju lengan pendek dan berpakaian ketat-ketat?"
-"Aurat tu apa? Yang mana satu betul?"
-"Kenapa ada orang Melayu yang minum arak dan main judi? Bukankah haram dalam agama kamu?"
-"Orang Melayu pun ada juga buat maksiat, kata haram dalam islam?"

Apa yang mereka nampak di depan mata tidak sama seperti yang digambarkan di dalam Islam. Gerak hati sudah terpaut dengan Islam tetapi yang mana satu betul? Yang mana nak ikut? Janganlah kita membiarkan mereka terus bermain dengan 1001 pertanyaan sehingga melunturkan niat mereka untuk mencari jalan kebenaran. Tunaikanlah tanggungjawab kita sebagai Muslim dan Muslimah sejati. Di akhirat kelak, kita akan ditanya apakah sumbangan kita kepada agama Islam? Bawalah imej Islam yang sebenar kepada umum. Semoga mereka tidak ditipu lagi oleh anda sendiri.

0 ulasan: